CYBERJAYA – Seorang pemilik akaun TikTok yang juga penjawat awam disoal siasat di Kedah, Khamis lalu, berhubung hantaran elemen 3R iaitu kaum, agama atau raja di TikTok.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah, susulan komen jelik melibatkan isu 3R yang dimuat naik oleh lelaki tempatan di aplikasi terbabit.
“Dalam operasi dijalankan oleh MCMC di Sungai Petani, Kedah pada Khamis, lelaki berusia 29 tahun itu telah disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
“MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek. Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MCMC menyerahkan Notis Kehadiran pada hari yang sama kepada suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini, khususnya kandungan melibatkan 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.
“Sementara itu, penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.