KINABATANGAN – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Khairil Anuar Mustapa, 31, ditemukan pada pukul 10.52 pagi oleh orang awam kira-kira 350 meter dari rumahnya.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai terjatuh pencawang elektrik. Mayatnya diserahkan kepada polis,” katanya.
Lelaki itu dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ketika ke kedai milik neneknya di Kampung Lot M. – KOSMO! ONLINE