PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memberikan komitmen penuh dalam membangunkan industri sukan digital sempena kemenangan yang dilakarkan Pasukan Selangor Red Giants (SRG) di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi malam tadi.
Pasukan tersebut muncul juara pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 sekali gus merampas takhta juara dunia bertahan M5 dari Filipina, Falcons AP Bren dengan kemenangan 4-3.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Pembangunan Belia dan Sukan berkata, besar harapan beliau agar berharap kejayaan yang diraih ini menjadi pemangkin kepada perkembangan industri e-sukan negara.
Ujarnya, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet profesional yang berdaya saing dan berkemahiran dalam permainan digital.
“Lewat malam semalam saya menerima perkhabaran gembira dari Riyadh, Arab Saudi apabila pasukan atlet e-sukan negara, SRG telah berjaya memenangi kejohanan MLBB Mid Season Cup 2024.
“Tahniah dan syabas SRG. Anda telah berjaya mengharumkan nama negara! Usaha gigih anda membawa pulang hadiah tunai RM4.7 juta adalah kejayaan yang amat membanggakan.
“Semoga kejayaan SRG hari ini akan menjadi pencetus kepada lebih kejayaan di masa akan datang. Saya akan memberikan komitmen penuh dalam membangunkan industri sukan digital ini. Tahniah SRG, tahniah buat semua penggiat industri,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah buat pasukan SRG dalam ciapan ringkasnya malam tadi.
“Sekalung tahniah buat pasukan Selangor Red Giants kerana telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia,” ciapnya sambil meletakkan tanda pagar #NoSurrender.
Kemenangan pasukan SRG yang diraih malam semalam cukup mendebarkan sekali gus menamatkan penantian tujuh tahun untuk menyaksikan wakil negara muncul juara dalam kejohanan tersebut.
Kemenangan itu membolehkan SRG membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4.7 juta dan trofi MSC.
Selain itu, wakil SRG, Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau dikenali Sekys turut dinobatkan sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan tersebut. - KOSMO! ONLINE