fbpx

Kempen Jom Potong 2024 sasar kutipan sebanyak RM90 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hakim (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jom Potong 2024 yang diadakan di Wisma PPZ - MAIWP, di sini hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM90 juta dengan bilangan pembayar seramai 7,000 orang menerusi Kempen Jom Potong 2024.

Kempen yang juga dikenali sebagai Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) itu berlangsung selama enam bulan bermula 1 Julai lepas sehingga 31 Disember depan dengan menyasarkan kakitangan kerajaan dan swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, bayaran zakat melalui Skim PZB amat penting bagi menjamin keberterusan agihan zakat kepada asnaf di Wilayah Persekutuan setiap bulan.

Ujarnya, tahun lepas kutipan zakat menerusi kempen yang sama berjaya mengutip sebanyak RM75.87 juta berbanding sasaran RM45 juta.

“Bayaran zakat melalui Skim PZB ini amat digalakkan kerana agihan zakat yang dibuat kepada asnaf, seperti bantuan kewangan bulanan bergantung sepenuhnya kepada kutipan zakat ini.

“Berdasarkan rekod kami, 50 peratus daripada kutipan zakat pada tahun lalu adalah melalui Skim PZB iaitu sebanyak RM519 juta.

“Kami optimis saluran ini akan menjadi pilihan pembayar zakat di PPZ-MAIWP kerana fungsinya yang lebih mudah dan sistematik, selain tidak membebankan individu terutamanya pada akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Potong di Wisma PPZ, di sini, hari ini.

Tambah Abdul Hakim, pembayar juga secara tidak langsung layak mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, katanya, setiap pembayar juga akan dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian di mana waris boleh menuntut wang sehingga RM3,000 sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar zakat.

“Bukan itu sahaja, lebih 250 pembayar bertuah yang menyertai Kempen Jom Potong 2024, berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya Pakej Umrah Ziarah Turki, motosikal elektrik, kerusi urut dan lain-lain barangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM95,300.

“Sebagai rakyat Malaysia yang diberi kelebihan ini, saya seru ambillah peluang ini kerana kita tidak akan rugi walau sedikit pun malah tanggungjawab kepada negara dan agama secara serentak dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar PZB secara dalam talian melalui ptg.zakat.com.my dan imbas kod QR yang tertera atau isi borang Skim PZB secara manual menerusi majikan atau di kaunter PPZ-MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI