WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terkena peluru pada sisi telinga kanan dalam cubaan membunuhnya oleh seorang lelaki bersenjata di Butler, negeri Pennsylvania, kelmarin.
Ia merupakan insiden mengejutkan dan dijangka mencetuskan ketegangan politik menjelang pilihan raya Presiden Amerika pada November ini.
Bekas presiden berusia 78 tahun itu diiring meninggalkan pentas ucapan oleh ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia ketika darah berlumuran di mukanya selepas tembakan tersebut.
Suspek penembak dan seorang orang awam yang menghadiri kempen calon Parti Republikan itu terbunuh, manakala dua yang lain cedera parah.
Trump menggenggam dan mengangkat tangannya di hadapan orang ramai sebagai simbolik beliau tidak gentar.
Dia dibawa ke tempat yang selamat oleh ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia sebelum berkata: “Saya ditembak. Peluru berdesir di bahagian atas telinga kanan saya.”
Sementara itu, Presiden Joe Biden daripada Parti Demokrat yang akan menghadapi Trump pada pilihan raya November ini berkata, insiden itu ‘menyakitkan’ dan menambah, keganasan sedemikian tiada tempat di Amerika.
Biden kemudian bercakap dengan Trump, kata White House.
Imej yang belum disahkan kesahihannya menunjukkan mayat penembak itu terbaring di atas bumbung bangunan tempat dia melepaskan tembakan. Ketika kejadian, penyokong Trump yang berhimpun menjerit dan situasi bertukar panik.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan dalam satu sidang akhbar bahawa insiden tembakan tersebut dianggap sebagai percubaan membunuh bekas presiden AS itu.
Menurut polis pula, identiti penembak telah dikenal pasti.
Dia dipercayai melancarkan serangan secara bersendirian tetapi beberapa pegawai berkata, mereka belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang butiran lanjut.
FBI mengenal pasti penembak dalam cubaan membunuh Trump sebagai Thomas Matthew Crooks berusia 20 tahun dari Pennsylvania.
Trump memakai topi merah yang tertera slogan ayat ‘Make America Great Again’ atau ‘Jadikan Amerika Hebat Semula’ baru sahaja berucap pada perhimpunan terakhirnya menjelang Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan apabila bunyi tembakan kendengaran.
Bekas presiden itu kemudian memegang telinganya dan darah menitis daripada organ tersebut dan pipinya.
Ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia bergegas mengerumuni Trump, mengelilingi dan mengiringinya turun dari pentas menuju ke kenderaan berdekatan.
“Sungguh luar biasa perbuatan seperti ini boleh berlaku di negara kita.
“Saya segera tahu ada sesuatu yang tidak kena kerana saya mendengar bunyi tembakan dan serta-merta merasakan peluru berdesing.
“Banyak pendarahan berlaku, jadi saya menyedari apa yang berlaku,” kata Trump di platform Truth Social beberapa jam kemudian.
Perkhidmatan Rahsia AS berkata dalam satu kenyataan bahawa penembak itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas dari kedudukan tinggi di luar perhimpunan sebelum ‘dineutralkan’ oleh ejennya.
Polis mengesahkan seorang penonton lelaki maut dan dua cedera parah, kesemuanya adalah lelaki dewasa. – AGENSI