KUALA PILAH – Polis kini sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak 18 hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan remaja berkenaan, Fiffy Arnatasya Abdullah, kira-kira pukul 1 pagi, 28 Jun lalu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kehilangan tersebut merupakan kehilangan kali kedua di mana pada kehilangan pertama, ahli keluarga remaja berkenaan dapat mengesan dan membawa pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, kali ini remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah berkenaan tidak pulang ke rumah dan laporan polis dibuat berhubung kehilangan tersebut.
“Remaja ini berkulit kuning langsat, tinggi kira-kira 150 sentimeter (cm), berat sekitar 45 kilogram, berbadan kurus dan berambut warna separuh perang, lurus dan panjang separas bahu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amran lagi, remaja perempuan berkenaan kali terakhir dilihat di Kampung Terusan, Juasseh pada 27 Jun lalu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja perempuan hilang berkenaan boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-484 2222. – KOSMO! ONLINE