MANCHESTER – Penyerang Brentford, Ivan Toney yang berbaki satu tahun kontrak bersama kelab tersebut telah menyatakan hasrat untuk menyertai Manchester United, walaupun kelab itu sedang melengkapkan perpindahan Joshua Zirkzee yang juga seorang penyerang.
Dalam pada itu, The Red Devils juga telah menunjukkan minat terhadap penyerang England berusia 28 tahun tersebut dan pihak Brentford telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh ejen Toney.
“Saya telah melalui spekulasi perpindahan sebelum ini. Terdapat banyak perbincangan mengenai saya pergi ke sana, sini dan di mana-mana sebelum ini. Dalam kerjaya, saya tidak membiarkan perkara-perkara di luar mengganggu saya.
“Saya berada di sini dengan England sekarang dan fokus utama adalah melakukan yang terbaik untuk England dan apa sahaja yang berlaku. Saya tidak boleh mengawalnya.
“Sejak umur 18 tahun ketika saya sepatutnya pergi ke Wolves dan saya sangat teruja, kemudian ia tidak berlaku, ia menyakitkan saya.
“Jadi, sejak itu saya fikir mengapa saya cuba mengawal perkara-perkara ketika saya tidak memerlukan tekanan itu? Saya hanya biarkan orang yang menguruskan perkara tersebut melakukannya dan saya fokus di padang,” kata penyerang itu.
Sementara itu, pengurus Brentford, Thomas Frank juga dikatakan bersedia untuk melepaskan penyerang itu selepas kelab tersebut merancang untuk menandatangani Igor Thiago dari Club Brugge. – AGENSI