KUALA LUMPUR – Ketika namanya dijulang sebagai artis baharu berpotensi besar, penyanyi Aisha Retno tidak dapat menahan rasa terkilan dan kecewa apabila wujud rakan selebriti yang kurang senang dengan pencapaian seninya.
Menurut Aisha, 23, dia berterima kasih dan mengakui berbangga dengan setiap pencapaian yang diraih tetapi dalam masa sama kecewa kerana terasa dianiaya rakan seindustri.
“Memang rasa tekanan bila orang sudah meletakkan harapan yang tinggi. Perkara itu bukan sahaja saya rasa daripada netizen tetapi juga individu dalam industri muzik yang ada cubaan menunjukkan sisi kedengkian mereka.
“Lama-kelamaan perkara itu semakin ketara sedangkan saya hanya pamer kemampuan diri (nyanyian) tetapi rupa-rupanya ada pula yang tak puas hati,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert final The Hardest Singing Show (THSS) di sini, semalam.
Katanya, perkara tersebut sememangnya menganggu pemikirannya termasuk sepanjang bertanding dalam THSS sejak 10 minggu lalu.
Dia bagaimanapun enggan meletakkan sebarang justifikasi sama ada diganggu dengan ilmu hitam atau sebaliknya.
“Benda ini memang agak kacau mental saya sepanjang bertanding di THSS.
“Ganggu bukan secara terang-terangan tetapi mereka ada misi. Saya tak berani nak beritahu sama ada mereka cuba jatuhkan atau apa tetapi antara caranya ialah menjauhkan diri.
“Apabila ada benda begitu muncul, memang kacau. Saya pula memang jenis yang tak suka drama begini
“Apa yang saya alami ialah kesakitan mental dan fizikal tetapi mungkin juga disebabkan keletihan tetapi memang ada berlaku perubahan dalam diri,” ujarnya.
Ujarnya, sifat dengki sebegitu membuatkannya berasa terkilan tetapi dalam masa sama terkejut kerana individu tersebut pernah menjadi idolanya sebelum ini.
“Saya terkilan dan kecewa sebab saya pernah mengidolakan mereka ketika mula masuk industri. Agak terkejut sebab tidak semua orang baik.
“Saya sedih bila berlaku begini sebab tak sangka industri muzik Malaysia yang kecil begini pun ada perkara sebegini (dengki).
“Syukur saya dipagari dengan ibu bapa yang ada ilmu agama, minta dijauhkan perkara sebegitu (sihir),” ujarnya yang bertegas enggan mendedahkan individu tersebut.
Kata pelantun lagu Sutera itu, dia juga bukan individu yang suka mempamerkan kelemahan diri kepada umum apatah lagi berkongsi momen kurang baik dalam mana-mana platform.
“Sebagai artis, perlu profesional tetapi saya juga manusia biasa yang melalui semosi sedih dan sebagainya cuma tidak tunjuk kepada orang.
“Tak selamanya kita bahagia dan saya juga ada momen menangis sebab perkara ini tetapi tak beritahu pun.
“Apa pun saya akan ‘jalan terus’ dan beri tenaga yang maksima untuk kerjaya seni sebab ini sumber pendapatab saya,” kongsinya.
Berkongsi tentang THSS, dia tetap bersyukur dan berpuas hati meskipun gagal meraih kedudukan tiga teratas.
“Saya memang puas hati dengan persembahan final. Banyak yang telah saya buktikan menerusi pertandingan ini.
“Semua finalis ini hebat-hebat belaka dan Aepul Roza memang layak jadi juara,” tuturnya.
Semalam, Aisha yang merupakan salah seorang peserta THSS diumumkan sebagai pemenang tempat keempat.
Kemenangan tersebut memberinya wang tunai RM5,000, pakej pelayaran dan trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE