fbpx

Dewan Rakyat: SKM guna pempengaruh promosi aktiviti pelancongan koperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKM

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggunakan pempengaruh bagi mempromosikan produk atau perkhidmatan pelancongan oleh koperasi dalam negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, SKM turut mengambil inisiatif membawa media asing ke negara ini untuk tujuan sama.

“Ini adalah sebahagian untuk kita mempromosikan (Tahun Melawat Malaysia 2026) lebih awal. Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 233 koperasi terlibat secara khusus dalam sektor pelancongan.

“Ia meliputi 39 aktiviti berasaskan pelancongan seperti hotel dan inap desa, penjagaan diri dan kesihatan, pusat kecantikan, spa dan salon serta termasuk kraf seperti batik, kraftangan dan sebagainya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) tentang prestasi atau keterlibatan koperasi-koperasi di dalam sektor pelancongan dalam industri pelancongan nasional.

Dalam pada itu, Ewon berkata, SKM melaksanakan Program Jom Jelajah Koperasi (Jejak) 2024-2025 untuk merangsang koperasi terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.

Menurut beliau, sebanyak RM2 juta diperuntukkan SKM bagi program itu bermula Mei 2024 hingga Mei 2025 dengan menyasarkan penglibatan 160 koperasi dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.

Selain itu, kata beliau, bagi tahun 2023 dan sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 13 koperasi telah diluluskan geran bantuan pembangunan dalam sektor pelancongan berjumlah RM881,000.

Tambah beliau, bagi tahun 2023 dan sehingga 31 Mei 2024, sebanyak lima koperasi menjalankan aktiviti pelancongan telah diluluskan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) berjumlah RM4.2 juta.

Jelas beliau, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga telah menyalurkan peruntukan RM300,000 kepada SKM untuk membantu Program Pensijilan Halal Koperasi.

“Kalau kita bercakap tentang sokongan kepada koperasi pelancongan boleh dimulakan oleh ahli Dewan Rakyat dengan menginap di koperasi pelancongan kita.

“Dengan demikian kita (Ahli Parlimen) membantu mempromosikan hotel mereka, restoran mereka dan (produk atau perkhidmatan) pelancongan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI