fbpx

Dewan Rakyat: RUU kompeten saksi kanak-kanak diluluskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Parlimen - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Empat Rang Undang-undang (RUU) berkaitan kompetensi saksi kanak-kanak termasuk RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut diluluskan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menggulung perbahasan RUU berkenaan.

Menurut Azalina, pindaan itu akan mewujudkan kedudukan kompeten saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Rata-rata prosedur keadilan jenayah yang sedia ada tidak bersifat mesra kanak-kanak, di mana masih wujud tatacara yang tidak adil terhadap kanak- kanak yang menyukarkan kanak-kanak untuk memberi keterangan sungguhpun bila mereka merupakan mangsa jenayah.

“Perkara ini menyebabkan kes di mahkamah terpaksa dilepas tanpa dibebaskan atau dengan izin, Discharge Not Amounting to an Acquital (DNAA) dan menyebabkan keadilan tidak dapat dicapai,” katanya.

Azalina berkata, sebagai contoh, berdasarkan sampel kes daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Langkawi berkenaan dengan kes jenayah seksual kanak-kanak pada tahun 2020, sebanyak 19 kes jenayah seksual kanak-kanak didaftarkan.

Bagaimanapun, kata beliau, sebanyak 12 kes daripada jumlah itu mendapat perintah DNAA.

“Begitu juga dengan trend sampel kes bagi tahun-tahun berikutnya di mana pada tahun 2021, terdapat 10 kes yang didaftarkan dengan tujuh kes DNAA. Bagi tahun 2022 dan 2023, masing-masing terdapat dua kes yang didaftarkan dengan satu kes DNAA.

“Situasi sebeginilah yang telah mendorong kerajaan ini yang sentiasa cakna terhadap keperluan semasa untuk mengambil langkah progresif bagi membuat pindaan sewajarnya kepada undang-undang,” katanya.

Tiga RUU lain yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini adalah RUU Keterangan (Pindaan) 2024, RUU Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 dan RUU Angkatan Tentera (Pindaan) 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI