fbpx

Dewan Rakyat: Peruntukan RMT paling tinggi dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah membabitkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi dua tahun berturut-turut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sebanyak RM716 juta diperuntukkan KPM untuk RMT pada tahun ini, manakala RM777 juta lagi sepanjang 2023.

“KPM menyediakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah bagi memanfaatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan bawah garis kemiskinan nasional.

“Ia juga memanfaatkan murid di sekolah Orang Asli dan murid berkeperluan khas,” katanya menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kah Woh seterusnya berkata, peruntukan RMT memastikan murid sekolah mendapat sarapan yang mempunyai nutrisi sesuai untuk tujuan pembesaran mereka.

Terdahulu, katanya, KPM menyalurkan 18 jenis bantuan persekolahan iaitu lima jenis bantuan persekolahan umum dan 13 jenis bantuan persekolahan khusus.

Katanya, bantuan persekolahan umum memastikan setiap murid di Malaysia mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.

Jelas beliau, bantuan persekolahan khusus pula diberi kepada murid yang layak berdasarkan kriteria ditetapkan seperti murid daripada golongan berpendapatan rendah.

Menjawab soalan mengenai harga makanan di kantin sekolah, Kah Woh berkata, ia dipantau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan ia bersesuaian dengan keperluan murid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI