fbpx

Dewan Rakyat: KDN bangunkan sistem pengecaman muka di sempadan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membangunkan sistem biometrik menggunakan kaedah pengecaman muka bagi melancarkan dan memperkasakan urusan kawalan sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sistem biometrik dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) itu dibangunkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

“Sistem dinamakan sebagai Automated Biometric Identification System (IBIS) ini dijangka sedia digunakan pada 2026. Ia sebahagian komponen projek Pembangunan dan Perolehan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) sama ada KDN bercadang menaiktaraf fasiliti di pintu masuk negara daripada sistem biometrik kepada sistem pengecaman muka.

Terdahulu, Shamsul Anuar berkata, agensi-agensi penguatkuasaan telah mempertingkatkan kemampuan teknologi dalam penguatkuasaan kawalan keselamatan sempadan.

Ujar beliau, penggunaan teknologi di sempadan sangat penting dalam meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara memandangkan penugasan kawalan sempadan negara menjadi semakin kompleks dan dinamik.

“Ini ekoran daripada ancaman keselamatan jenayah rentas sempadan, pencerobohan pihak asing ke wilayah negara dan risiko penyeludupan barang-barang kawalan di sempadan,” katanya.

Justeru, kata beliau, KDN sentiasa meneroka penggunaan teknologi baharu serta inovasi terkini sejajar perkembangan teknologi semasa dalam penugasan agensi keselamatan mengawal sempadan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI