fbpx

Dewan Rakyat: 69,604 komputer riba diagih di 3,885 sekolah tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Parlimen - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 68,056 unit komputer riba telah diedarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) kepada 3,455 buah sekolah di bandar dan luar bandar pada tahun lalu melibatkan kos projek bernilai lebih RM424 juta.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pada tahun ini sebanyak 3,885 buah sekolah di bandar dan luar bandar akan mendapat manfaat melibatkan pengedaran sebanyak 69,604 unit komputer riba dengan kos lebih RM451 juta.

“Sejak tahun 2021 juga, KPM melalui Yayasan Hasanah juga telah mengedarkan peranti digital yang lengkap dengan pelan data kepada 150,000 murid B40 yang dilaksanakan oleh Yayasan Hasanah.

“Projek Point of Presence (PoP) diterajui oleh Kementerian Komunikasi juga membantu usaha kita memperluas rangkaian internet kepada sekolah di bandar dan luar bandar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berhubung teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung kemampuan guru menguasai pendidikan digital, Kah Woh berkata, KPM melaksanakan pengesanan saringan tahap kompetensi digital ke atas warga pendidik setiap tahun.

Kata beliau, analisa sehingga 30 jun 2024 menunjukkan sebanyak 360,365 guru telah disaring dan mereka yang memiliki tahap asas sebanyak 23.53 peratus atau bersamaan 84,818 orang.

Menurut beliau, angka guru yang memiliki tahap asas tahap asas itu menurun kerana telah melonjak ke tahap pertengahan selepas usaha-usaha yang diambil oleh KPM untuk memastikan kompetensi digital dalam kalangan mereka.

“Tahap pertengahan terdapat 74.73 peratus atau bersamaan 269,301 orang, manakala tahap lanjutan 1.73 peritus bersamaan 6,246 orang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan oleh KPM untuk membangunkan pendidikan digital di negara ini untuk memastikan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan kerajaan tahun lalu tercapai.

Menjawab soalan asal oleh Ahmad Johnie, beliau menjelaskan, sehingga 15 Jun 2024, sebanyak 774 aktiviti pembangunan profesionalisme berterusan (PPB) berkaitan digital telah dilaksanakan melibatkan seramai 81,791 guru di Sarawak.

Tambah beliau, KPM dengan kerjasama Pixlr juga telah melatih 92 guru di Sarawak pada 23 Mei 2024 bagi meningkatkan kompetensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta telah diberikan pensijilan.

“Sebanyak 27 Pusat Kegiatan Guru dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Sarawak telah dilengkapi dengan Studio Digital dan Digital Maker Hub bagi memastikan latihan kepada guru berkaitan digital.

“Melalui perolehan baharu perkhidmatan internet bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025, penambahbaikan dibuat melalui menaik taraf teknologi fiber dari 100 mbps (min speed) kepada 300 mbps.

“Bagi sekolah yang menggunakan teknologi satelit pula, kelajuan ditambah dari 30 mbps kepada 100 mbps dengan penambahbaikan kuota dari 100gb ke 1 Terabyte (TB),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI