PETALING JAYA – Pelakon Nora Danish tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya bekas suami, Mohamed Nedim Nazri ingin bermain cinta dengan wanita lain.
Kata Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 42, perceraian yang berlaku adalah atas pemintaannya dan tiada sebab untuk dirinya berasa cemburu.
“Tidak mengapa jika kelihatan dia bersama wanita lain kerana perceraian ini adalah atas permintaan saya,” katanya.
Demikian penjelasan pelakon Nora Danish berkenaan hal yang masih diajukan kepadanya berkaitan bekas suami, Mohamed Nedim Nazri atau Nedim.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran dalam Instagram Story agar semua pihak tidak lagi mencetuskan sebarang spekulasi membabitkan kehidupan mereka.
Menerusi hantaran sama, pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom Puteri itu urut menangkis dakwaan pihak tertentu yang menuduhnya masih sebumbung dengan Nedim.
Katanya, mereka sudah bercerai, sekali gus tidak mungkin tinggal di rumah yang sama lagi seperti dihebohkan.
“Saya tidak tinggal serumah dengan Nedim dan tidak akan tinggal serumah kerana kami sudah bercerai.
Begitupun, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu tidak mendedahkan punca mahupun identiti pihak atau individu yang membuat tuduhan tersebut.
Pada masa sama, Nora meminta orang ramai tidak lagi melaporkan mengenai kehidupan peribadi Nedim kepadanya disebabkan mereka tiada apa-apa hubungan.
Bahkan kata Nora, keakraban yang terjalin adalah disebabkan kepentingan anak-anak.
“Jadi biarlah dia dan kehidupannya. Jangan sampaikan pada saya lah okey.
“Masing-masing sudah melalui jalan berbeza. Kami hanya rapat atas urusan anak-anak. Tidak lebih,” ujarnya lagi.
Biarpun sudah berpisah, silaturahim antara mereka meraih pujian ramai terutama selepas Nora melawat Nedim di hospital akibat penyakit yang tidak didedahkan seminggu selepas disahkan bercerai.
Malah, ramai peminat menyifatkan hubungan tetap terjaga mereka itu patuh dicontohi pasangan lain yang sudah berpisah.
Terdahulu, perceraian pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 itu mengundang kejutan selepas memilih haluan sendiri pada 16 Jun lalu.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl, yang kini berusia enam tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Putra Rayqal, 15 tahun.
Namun perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan pada 2008. – KOSMO! ONLINE