fbpx

Buli Esha di TikTok: Tiga individu akan dirakam percakapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENDIANG Rajeswary atau Esha.

KUALA LUMPUR – Tiga individu akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes buli siber terhadap pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu atau Esha di TikTok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, ketiga-tiga individu terbabit akan dipanggil dalam minggu ini.

“Kita juga akan menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini (Isnin) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno , pihaknya juga masih menyiasat dakwaan bahawa terdapat pembabitan seorang pengasas produk dalam kes tersebut kerana siasatan bergantung kepada keterangan yang diperoleh daripada saksi-saksi.

Tambahnya, seramai 11 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berkait kes ini.

12 Julai lalu, Ibu mendiang Esha membuat satu laporan polis terhadap tiga lagi individu yang memburukkan mendiang anaknya menerusi beberapa siaran langsung di aplikasi TikTok.

Puspa P. Rajagopal, 56, memaklumkan tiga individu tersebut termasuk seorang bekas pegawai polis wanita yang pernah dilanda kontroversi pada tahun lepas.

Menurut Puspa, setelah anaknya yang mesra disapa Esha meninggal dunia, individu-individu tersebut didakwa telah memuat naik siaran langsung serta mengeluarkan komen-komen berbaur kesat terhadap mendiang anaknya.

Untuk rekod, Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya yang diterima daripada pengguna TikTok.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berkenaan ugutan dibuat di aplikasi TikTok terhadap Esha.

Pengadu telah terlihat dua hantaran di aplikasi tersebut dibawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Esha, pada 30 Julai lalu.

Kedua-dua akaun TikTok tersebut telah menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Esha selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. . -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI