fbpx

Bintang Beverly Hills 90210, Shannen Doherty meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shannen Doherty yang menyerlah menerusi drama televisyen 1990-an Beverly Hills, 90210 meninggal dunia akibat kanser payudara.

Pelakon Shannen Doherty yang menyerlah menerusi drama televisyen 1990-an Beverly Hills, 90210 meninggal dunia akibat kanser payudara, kelmarin.

Berita sedih itu dikongsikan pengurus publisitinya, Leslie Sloane yang mengesahkan aktres terbabit menghembuskan nafas terakhir di Malibu, California pada usia 53 tahun.

“Dengan berat hati saya mengesahkan pelakon Shannen Doherty meninggal dunia pada 13 Julai lalu selepas berjuang melawan penyakit kanser yang dideritai selama bertahun-tahun.

“Dia menghembuskan nafas terakhir dikelilingi orang tersayang serta anjingnya, Bowie.

“Keluarga mendiang meminta semua pihak memberikan mereka diberi privasi buat masa ini,” katanya dalam kenyataan media.

Selepas didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 2015, Doherty menjalani pembedahan mastektomi serta kemoterapi dan radiasi.

Doherty secara terbuka berkongsi tentang perjuangan melawan kanser payudara yang didedahkan pada tahun 2015 dengan menyatakan sedang menjalani rawatan.

Dua tahun kemudian Doherty memaklumkan gejala kansernya mula berkurangan, tetapi pada 2019 sel barah menyerangnya semula.

Tahun lalu beliau menjalani pembedahan membuang tumor otak selain mendedahkan kanser tersebut telah merebak sehingga ke tulang.

Kerjaya Doherty bermula pada tahun 1982 sebagai pelakon kanak-kanak dalam drama keluarga popular Little House on the Prairie menggalas watak Jenny Wilder.

Kerjaya lakonannya semakin menyerlah sebaik membintangi siri Beverly Hills, 90210 membawakan peranan Brenda iaitu pelajar cemerlang dari Minnesota yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan rakan sekelas.

Watak dalam drama terbabit turut membabitkan babak cinta tiga segi dengan Dylan McKay lakonan Luke Perry dan Kelly Taylor (Jennie Garth).

Dalam kehidupan nyata, Doherty dilaporkan berkonflik dengan Garth dan pelakon lain yang membuatkannya meninggalkan Beverly Hills, 90210 pada musim keempat iaitu sekitar 1994.

Pada 1998, penerbit Beverly Hills, 90210, Aaron Spelling memilihnya untuk siri Charmed di mana mendiang membawa watak sebagai Prue Halliwell, iaitu kakak sulung daripada tiga bersaudara yang memiliki kuasa ajaib.

Bahkan aktres asal Tennessee, Amerika Syarikat itu diberi kepercayaan mengarahkan beberapa episod siri terbabit.

Populariti Charmed tidak mampu disangkal apabila mengumpul penonton yang ramai tetapi turut menjadi bahan gosip ketika era tersebut berikutan pertelagahan pelakon di belakang tabir.

Majalah People sebelum itu menyifatkan Doherty adalah gadis nakal ikonik era 1990-an, dengan reputasi suka berparti, datang lewat ke set penggambaran dan berkonflik dengan pelakon lain serta pihak produksi.

Pada 2023, menerusi podcast Let’s Be Clear with Shannen Doherty, mendiang secara terbuka mengambil sepenuh tanggungjawab atas segala tindakan serta mengakui kelakuannya melampau keterlaluan akibat sering mengunjungi pusat hiburan pada usia 20-an.

Menyingkap perjalanan karier, sepanjang 42 tahun aktif industri hiburan, dianggarkan Doherty telah membintangi hampir 20 filem selain lebih 40 siri televisyen.

Beliau pernah melalui tiga kali perkahwinan namun ikatan dengan suami terbaru yang juga jurugambar, Kurt Iswarienko berakhir apabila beliau memfailkan perceraian tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI