fbpx

Luahan Pembaca: Beri peluang pelarian bekerja, bukan pinggirkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAPORAN akhbar Kosmo! bertarikh 22 Mei 2023.

Saudara pengarang,

TANGGAL 20 Jun setiap tahun diraikan sebagai Hari Pelarian Sedunia. Malaysia merupakan tuan rumah kepada hampir 190,000 pelarian.

Menurut data daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), sehingga bulan Mei 2024 terdapat seramai 189,340 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan badan tersebut di Malaysia.

Seramai 166,290 orang daripada angka tersebut adalah pelarian warga Myanmar, 66.7 peratus daripada mereka merupakan etnik Rohingya, manakala selebihnya kumpulan etnik Myanmar lain.

Terdapat juga pelarian daripada pelbagai negara lain termasuk Pakistan, Yemen, Somalia, Syria, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq serta Palestin.

Sebahagian besar pelarian di Malaysia tertumpu di negeri Pantai Barat Semenanjung iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kedah.

Pelarian di Malaysia juga tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mendapatkan pekerjaan formal.

Kebanyakan mereka hanya bekerja dalam sektor tidak formal dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana mendapat upah harian yang rendah dalam pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Pelarian perlu diberi jaminan dan hak untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara sah kerana ia membantu mendapatkan kerja dengan gaji yang lebih tinggi sekali gus memberi motivasi meningkatkan taraf ekonomi dan membina kehidupan lebih baik.

Mereka juga akan kurang berisiko terlibat dalam aktiviti jenayah dan secara tidak langsung, mengurangkan masalah sosial dalam masyarakat.

Kita boleh memainkan peranan penting dalam membantu menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan cabaran yang dihadapi oleh pelarian.

Berikan sokongan kepada syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana yang mengambil pelarian sebagai pekerja supaya masyarakat awam dapat membuka mata akan manfaat terhadap ekonomi apabila pelarian turut dilibatkan bersama.

Pihak kerajaan pula perlu segera melaksanakan perubahan dasar dan merangka undang-undang yang mengiktiraf hak pelarian di Malaysia agar mereka mempunyai capaian terhadap pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta peluang pekerjaan.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) pernah menerbitkan kajian pada 2019 yang menunjukkan bahawa memberikan hak bekerja kepada pelarian akan memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada negara.

Kumpulan ini akan menyumbangkan sekurang-kurangnya RM3 bilion KDNK dan juga peningkatan kutipan cukai sebanyak RM50 juta.

Semakin besar pendapatan pelarian, semakin rancaklah ekonomi masyarakat sekeliling.

Bukankah wang ini akan pergi kepada para peniaga yang ada di sekitar komuniti pelarian dan menguntungkan masyarakat itu sendiri?

Zuhdi Farhan
Eksekutif Kanan,
Advokasi dan Program
Institut Demokrasi dan
Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI