FLORIDA – Juara bertahan, Argentina menepati status sebagai pasukan pilihan apabila mengekalkan kejuaraan Copa America selepas menewaskan Colombia 1-0 pada perlawanan akhir sebentar tadi.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hard Rock itu, Argentina boleh dianggap bernasib baik memandangkan Colombia menguasai lebih banyak permainan selain melakukan 19 percubaan.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan sudah menampilkan aksi cukup baik, terutamanya selepas perlawanan dimulakan lewat daripada jadual asal gara-gara kekecohan yang berlaku di luar stadium.
Harapan Argentina untuk mempertahankan kejuaraan juga dilihat hampir berkecai apabila kapten, Lionel Messi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-66 selepas dia mengalami kecederaan buku lali.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi memburu gol pembukaan, namun keputusan seri tanpa jaringan kekal hingga tamat aksi 90 minit permainan dan terpaksa diheret ke masa tambahan.
Memasuki masa tambahan, La Albiceleste seolah-olah enggan pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti apabila melakukan serangan bertali arus ke arah pintu gol Colombia.
Pada minit ke-112, pemain gantian, Lautaro Martinez menjadi wira pasukan itu apabila tenang menyepak masuk bola hasil hantaran Giovani Lo Celso, sekali gus memastikan Argentina mempertahankan gelaran.
Ketika perlawanan berbaki beberapa minit sahaja lagi, Colombia mengerah segala kudrat yang tersisa bagi memburu gol penyamaan, namun keputusan itu kekal hingga tamat permainan. – KOSMO! ONLINE