PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan bertemu dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock dalam masa terdekat ini.
Anwar menerusi hantaran X berkata, beliau mengambil maklum insiden yang berlaku di luar Parlimen pada hari ini.
“Saya beri jaminan akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat dan meneliti memorandum tuntutan.
“Saya ambil maklum insiden yang berlaku di luar Parlimen hari ini melibatkan keluarga mendiang,” katanya hari ini.
Terdahulu sebuah portal melaporkan, sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan atas kematian mendiang Beng Hock disekat daripada menghampiri bangunan Parlimen di ibu negara.
Dalam laporan itu, polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat rantaian manusia bagi kira-kira 100 meter sebelum pagar Parlimen.
Laporan portal itu menyebut, Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi asalnya mahu menyerahkan memorandum di pagar mahkamah, namun mereka diberitahu supaya mendapatkan kebenaran kerajaan terlebih dahulu.
Mendiang Beng Hock ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tingkat 14 bangunan sama. – KOSMO! ONLINE