fbpx

Agrobank sumbang pelan perlindungan takaful RM1 juta sempena Road To MAHA 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD SABU (tengah) bersama perwakilan KPKM pada program Road To MAHA 2024 @ Sabah yang diadakan di Dataran Harbour Mall, Sandakan.

PETALING JAYA – Agrobank memperluas akses kepada perlindungan kewangan dan takaful kepada komuniti di Sandakan, Sabah menerusi sumbangan bernilai RM1 juta sempena Road to MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) 2024 @ Sabah oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dari 12 hingga 15 Julai 2024.

Acara selama tiga hari di Dataran Harbour Mall, Sandakan itu mendapat sambutan menggalakkan melibatkan program senamrobik dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tembok/benteng tepi pantai berdekatan pasar Sandakan, Harbour Mall dan kawasan sekitarnya.

Agrobank, sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat, telah menyumbang perlindungan takaful bernilai RM1 juta melalui Pelan Takaful Kasih Plus kepada 100 peserta terawal (RM10,000 nilai perlindungan bagi setiap peserta) yang menyertai program senamrobik.

Sumbangan itu adalah bukti komitmen Agrobank dalam menyokong gaya hidup sihat dan melindungi masa depan peserta.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya amat teruja untuk bersama-sama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha mempromosikan MAHA 2024.

“Road to MAHA 2024 @ Sabah adalah platform terbaik untuk kami mendekati masyarakat, berkongsi ilmu dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan Agrobank yang relevan kepada keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sempena siri jelajah konvoi Road to MAHA 2024, bertujuan mempromosikan penganjuran MAHA 2024 pada September tahun ini. – KOSMO! ONLINE

MOHAMAD SABU (tengah) bersama perwakilan KPKM pada program Road To MAHA 2024 @ Sabah yang diadakan di Dataran Harbour Mall, Sandakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI