KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) telah melupuskan sebanyak 77 tan abu al-Quran di tengah laut sejak 2015.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan al-Quran itu dilupus selepas kejadian bah kuning yang melanda Kelantan pada hujung 2014.
Menurutnya, sehingga kini, pendekatan yang diambil bagi proses pelupusan al-Quran adalah membakar kitab suci itu sebelum abunya ditenggelamkan di tengah laut.
“Program pemuliaan al-Quran ini merupakan antara program utama Jaheaik berikutan tuntutan rakyat sendiri yang mahukan al-Quran lama dan rosak dimuliakan. Kita namakan ia proses pemuliaan kerana tidak mahu menyebut melupuskan al-Quran.
“Jaheaik menerima banyak permohonan untuk memuliakan al-Quran. Hari ini, kita tenggelamkan sebanyak 2.07 tan abu al-Quran bersama tiga kapal nelayan asing yang telah dilucutkan hak,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemuliaan Abu Al-Quran Bersama Penenggelaman Vessel Lucut Hak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di perairan Kuala Besar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, kebanyakan abu ditenggelamkan dalam program itu merupakan al-Quran yang mengalami kerosakan akibat banjir di Pasir Mas pada penghujung tahun lalu sehingga awal tahun ini.
Menurutnya, al-Quran yang terkumpul dibakar menggunakan relau atau insinerator di Jaheaik sebelum ditenggelamkan pada kedalaman 21 meter di kawasan sejauh lima batu nautika dari Jeti Kuala Besar.- KOSMO! ONLINE