fbpx

Proses pengeluaran fleet card akan dipercepatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan (tengah) merasmikan Pra Pelancaran Ihsan Cashback pada Majlis Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan mesyuarat bersama lima syarikat minyak utama Khamis ini, bagi menangani isu pengeluaran ‘fleet card’ untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pada mesyuarat itu, kelima-lima syarikat minyak perlu mengemukakan dan membentangkan mekanisme untuk menyegerakan pengeluaran fleet card.

Katanya, berdasarkan rekod terkini yang diperoleh sehingga Isnin lalu, sebanyak 165,897 fleet card dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang memohon.

“Fleet card ini menggunakan dua kaedah iaitu melalui prabayar atau pascabayar. Kalau secara prabayar tiada isu sebab syarikat-syarikat minyak boleh mengeluarkan fleet card segera.

“Isu timbul apabila syarikat mohon guna kaedah pascabayar kerana sudah pasti syarikat-syarikat minyak utama ini perlu lihat dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festiva Pengguna di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kelewatan pengeluaran fleet card oleh syarikat minyak mungkin disebabkan oleh sikap tunggu dan lihat segelintir syarikat meskipun pelaksanaan SKDS telah diumumkan lebih awal Mac lalu sebelum menyasaran minyak diesel dikuatkuasakan pada Julai.

Dalam perkembangan lain katanya, KPDN akan memperkenalkan Ihsan Cashback dan I-Mesra yang merupakan dua inisiatif baharu bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat selain meningkatkan daya saing peniaga tempatan.

Menurut beliau, Ihsan Cashback merupakan program cashback ‘e-wallet’ yang memberi pulangan wang atas pembelian melalui rangkaian rakan kongsi.

“Melalui inisiatif di bawah inisiatif Ihsan Rahmah Madani (IRM) ini, pengguna yang mempunyai e-wallet boleh membuat pembelian di rangkaian dan premis perniagaan terlibat dan mereka boleh mendapat pulangan tunai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI