PARIT – Kementerian Pertahanan mengharapkan Kuwait mempertimbangkan hasrat Malaysia untuk mendapatkan aset pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) sebagai menampung operasi keselamatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesungguhan Malaysia itu dapat dilihat apabila telah menghantar pasukan bagi menilai kapal terbang tersebut.
“Kita secara formal kita belum buat tapi secara tidak formal mereka dah tahu kerana kita dah hantar pasukan-pasukan kita untuk buat penilaian terhadap kapal terbang.
“Kita dapati ia sesuai untuk kegunaan kita dan ia juga selari dengan perancangan kita untuk mempunyai aset-aset tentera udara yang boleh menampung operasi dan cabaran yang kita hadapi dalam kawasan negara kita pada hari ini,” katanya semasa hadir merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Parit selaku Naib Presiden UMNO di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Mohamed Khaled berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed Al-Saleh.
Usaha mendapatkan pesawat milik KAF dibuat memandangkan ketenteraan negara Asia Barat itu kini dalam perancangan memiliki pesawat jet pejuang yang baharu.-KOSMO! ONLINE
Menteri itu berkata, Malaysia memang menaruh minat untuk mendapat kapal terbang tersebut dan mengharapkan kerajaan Kuwait sedia mengkajinya.
“Jadi kita memang melihat ini sebagai satu perkara yang kita ingin tetapi ia bergantung kapada persetujuan kerajaan Kuwait. Maka sudah tentulah selepas ini akan ada usaha-usaha untuk memastikan ada keputusan oleh kerajaan Kuwait.
Dalam perkara lain, Mohamed Khaled berkata, cadangan sama ada mahu membeli atau menyewa helikopter Leonardo AW 139 adalah bergantung kepada kedudukan kewangan negara. – KOSMO! ONLINE