fbpx

KDA FC, ECG Capital lancar kad keahlian KenariCare

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Daud (dua dari kanan) bersama Asward (dua dari kiri) menunjukkan replika Kad KenariCare dalam Majlis Pelacaran Kad Keahlian KDA FC KenariCare di Pejabat KDA FC di Alor Setar, Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) dengan kerjasama ECG Capital Sdn Bhd melancarkan kad keahlian KenariCare yang menawarkan pelbagai manfaat istimewa untuk penyokong dan peminat setia pasukan bola sepak KDA FC.

Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pengenalan KenariCare juga merupakan sebahagian inisiatif untuk menyediakan platform kepada penyokong dan peminat setia bersama-sama terlibat dalam kesinambungan pembangunan pasukan KDA FC.

Mohd. Daud berkata, KenariCare menawarkan pelan keahlian bermula serendah RM35 sebulan yang menawarkan manfaat perlindungan takaful hayat sehingga RM100,000, tawaran diskaun pembelian di lebih 30 rangkaian niaga terpilih, diskaun pembelian barangan rasmi KDA FC dan keutamaan dalam pembelian tiket perlawanan di tempat sendiri.

“KDA FC menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 keahlian KenariCare dapat dicapai sehingga Disember 2025 yang mana sebahagian daripada yuran keahlian bulanan daripada penyokong dan peminat setia dapat digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi pasukan pada masa akan datang.

“Saya menyeru semua penyokong dan peminat setia pasukan untuk menyertai program keahlian ini kerana anda boleh bersama-sama dalam membantu pasukan dan dalam masa yang sama juga boleh menikmati pelbagai manfaat istimewa daripada keahlian tersebut,” katanya sempena Majlis Pelancaran Kad Keahlian KenariCare.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECG Capital, Asward Mahadzir dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin dan Pengarah ECG Capital, Mohd Hafizi Ahmad.

Menurut Mohd Daud, pihaknya juga berharap sektor korporat di negeri ini dapat bersama-sama membantu KDA FC melalui langganan keahlian KenariCare kepada kakitangan masing-masing yang mana ianya boleh dijadikan sebagai manfaat pekerjaan (employee benefits).

“Sebelum ini mungkin ada sektor korporat yang mahu membantu KDA FC tetapi tidak berkemampuan daripada sudut kewangan sebagai penaja. Dengan adanya KenariCare ini, syarikat korporat boleh bersama membantu dengaan melanggan keahlian untuk kakitangan dan menjadikan ia sebagai manfaat pekerjaan.

“Tambahan pula jika kita lihat manfaat keahlian KenariCare ini juga amat menguntungkan semua pihak yang mana ia meliputi perlindungan takaful hayat dan manfaat diskaun gaya hidup yang boleh digunakan untuk mendapatkan penjimatan dalam pelbagai pembelian.,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asward berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan KDA FC dalam menguruskan program keahlian KenariCare yang merupakan program julung kali pernah dilakukan dalam kalangan pasukan bola sepak di negara ini

“ECG Capital akan membantu pihak KDA FC untuk mencapai sasaran 100,000 langganan keahlian KenariCare dapat dicapai. Dalam masa yang sama kami akan memastikan manfaat keahlian KenariCare ini akan ditambah bagi memberikan nilai kepada ahli yang melanggan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI