KECOH satu Malaysia sebaik tersebar berita mengenai seorang pelakon membelasah teman wanitanya dalam satu kejadian pada awal pagi Sabtu minggu lalu.
Daripada hebahan polis yang enggan menyebut nama individu dimaksudkan, bayangan si pelaku hanya digambarkan sebagai aktor bertubuh sasa dan berusia 38 tahun.
Susulan itu, nama bintang filem Paskal, Ammar Alfian yang sememangnya berbadan tegap selain kebetulan berusia 37 tahun seperti disebutkan pihak berkuasa tular dalam laman sosial.
Begitupun, Ammar atau nama lengkapnya Ammar Alfian Aziz Mohd. Zakri menangkis telahan netizen yang menggaitkannya dengan insiden dilaporkan seorang wanita pada 7 Julai lalu.
“Bukan aku,” katanya ringkas membalas pertanyaan netizen.
Menurutnya lagi, dia kecewa dikaitkan dengan kes sebegitu hanya kerana memiliki wajah ‘jahat’ dan sering melakonkan watak penjenayah.
“Tahulah muka aku jahat, berlakon pun watak jahat.
“Selepas ini, produser tolong beri watak ustaz. Aku nak babak sedang solat dan baca doa menangis-nangis.
“Kamera juga perlu tunjukkan muka aku sedang menangis teresak-esak dan lagu nasyid pula sebagai muzik latar, bagi jadi,” ujarnya.
Sebelum ini Ammar dikatakan bercinta selepas empat tahun menduda apabila video mesra bersama kekasihnya yang berdarah kacukan Pakistan tersebar.
Zul Ariffin tiada ‘gen’ kaki pukul
Susulan kes terbabit, dua lagi aktor berbadan ‘sado’, Zul Ariffin serta Syazwan Zulkifly turut terkena tempias sama semata-mata kerana fizikal dimiliki.
Tidak menyedari namanya terpalit kerana sibuk di lokasi penggambaran, bintang Sheriff itu akhirnya tampil membersihkan nama sekali gus menghapuskan kekeliruan ramai.
Jelasnya, dia tiada langsung ‘genetik’ kaki pukul wanita bahkan usianya pula sudah mencecah 38, bukan 37 tahun seperti dilaporkan.
“Saya tiada genetik (keturunan) pukul atau angkat tangan kepada perempuan.
Saya tak tahu nak cakap apa sebab individu itu bukan saya.
“Sekarang ini banyak lelaki yang tak berapa nak lelaki sangat. Saya rasa disebabkan umur itu nama saya dipetik tapi saya ambil peluang untuk bagi tahu umur saya 38 tahun,” katanya.
Seperti teman seperjuangannya, Syazwan Zulkifly turut menafikan dirinya membelasah kekasih selepas namanya juga dipetik sejak berita itu tersebar.
Pemilik nama Mohd. Syazwan Zulkifly, 37, yang juga pelakon filem Juvana membuat kenyataan selepas beberapa individu menasihatkannya menerusi media sosial agar menyelesaikan sebarang masalah dengan baik.
“Brother (abang), itu bukan wa (saya). Malulah sikit main tuduh-tuduh orang macam ni,” tulisnya.
Tidak sekadar menjadi buah mulut tanpa hujung pangkal, kes tersebut juga mendapat pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismajl yang berkata, mangsa keluar bersama kakak tanpa izin teman lelaki sehingga menjadi punca perselisihan faham.
Polis menerima laporan daripada mangsa yang juga peniaga berusia 25 tahun pada pukul 6 petang, Ahad minggu lalu.
Isu membabitkan aktor terbabit semakin hangat apabila pada 10 Julai lalu polis memaklumkan gagal menghubungi pelakon lelaki itu selepas panggilan telefon dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak berjawab atau dibalas.
Begitupun, sehari kemudian pelakom itu hadir ke balai polis dengan ditemani bapanya bagi memberikan kenyataan.