FLORIDA – Kejayaan menewaskan Uruguay yang dibimbing jurulatih berstatus ‘mahaguru’, Marcelo Bielsa menjadi bukti bahawa Colombia sudah bersedia untuk menjulang trofi Copa America 2024.
Pada aksi final di Stadium Hard Rock pagi esok, Colombia bakal berdepan ujian lebih getir iaitu bertemu juara dunia, Argentina yang layak selepas menyingkirkan Kanada pada pentas separuh akhir.
Sepanjang kejohanan kali ini, Colombia tampil aksi luar biasa termasuk mengikat Brazil 1-1 di peringkat kumpulan dan penampilan ketiga di pentas final kali ini membuka peluang buat The Tricolour menoktahkan kejuaraan kedua dalam sejarah.
“Saya fikir untuk menewaskan Bielsa membolehkan kami berjalan lebih jauh. Dia adalah rujukan dan secara peribadi saya begitu mengangguminya.
“Kini giliran kami untuk meraih kemenangan. Agak menarik untuk saya menentang pemain yang pernah saya jumpa sepanjang karier saya,
“Kami perlu kembali cergas dan turun ke padang dalam keadaan terbaik. Kami harap tiada lagi sebarang berita daripada pasukan perubatan.
“Saya tetap merasakan yang kami akan hadapi perlawanan akhir kali ini dalam keadaan terbaik,” kata pengendali Colombia, Nestor Lorenzo.
Kemenangan ke atas Argentina bakal memastikan aksi ke 28 tanpa kalah buat Colombia sekaligus meleburkan rekod 27 perlawanan tanpa kalah yang dilakukan The Tricolour pada 1992 hingga 1994.
Selain itu, perlawanan akhir kali ini juga menjadi medan penting buat kapten Colombia, James Rodriguez bahawa dia sudah benar-benar kembali mendapatkan sentuhan terbaik selepas berdepan krisis prestasi sebelum ini.
Rodriguez berjaya meledak satu gol dan meleburkan rekod Lionel Messi yang dilakukan pada edisi 2021 dengan melakukan enam umpanan jaringan pada kempen kali ini. – AGENSI