FLORIDA – Bintang Argentina, Lionel Messi percaya mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan Colombia menjelang perlawanan akhir Copa America 2024 yang akan berlangsung di Stadium Hard Rock pagi esok.
Skuad kendalian Lionel Scaloni itu akan turun dengan status sebagai juara bertahan, sekali gus dijangka berdepan tekanan lebih tinggi berbanding Colombia yang dilabelkan sebagai underdog.
Messi menganggap Colombia memiliki ramai pemain berbakat pada saingan kali ini dan mampu untuk menyekat hasrat skuad La Albiceleste itu untuk meraih kejuaraan berturut-turut dalam empat kejohanan utama.
“Kami semua menyaksikan aksi separuh akhir antara Uruguay dan Colombia. Kami tahu siapakah pemain yang perlu diberikan perhatian pada aksi final nanti dan mereka sudah lama tidak mengalami kekalahan.
“Colombia merupakan satu pasukan yang memiliki ramai pemain berbakat, terutamanya di bahagian serangan. Mereka sangat pantas dan dinamik, jadi ia mungkin jadi kelebihan buat Colombia,” katanya.
Dalam pada itu, Messi juga menggesa rakan sepasukan supaya tidak terlalu selesa biarpun mereka mengharungi saingan yang cukup baik sepanjang Copa America kali ini kerana menganggap apa sahaja boleh berlaku pada perlawanan akhir.
Argentina yang merupakan juara Piala Dunia 2022 dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk mempertahankan kejuaraan memandangkan mereka melangkah ke pentas final dengan rekod bersih menang kesemua perlawanan.
“Semua pemain perlu sedar bahawa aksi final sentiasa berbeza dengan perlawanan-perlawanan lain. Kami perlu tenang sama seperti dalam aksi sebelum ini jika mahu pulang dengan trofi,” ujarnya. – AGENSI