KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang ditahan disyaki melakukan ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap pempengaruh, Rajeswary Appahu, 30, atau Esha, disambung direman selama dua hari.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lanjutan reman dilakukan bagi melengkapkan siasatan.
“Polis akan merujuk kertas siasatan yang lengkap kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) esok.
“Seramai 11 saksi sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung ugutan dan ancaman terhadap Esha,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan suspek pertama membabitkan wanita berusia 35 tahun ditahan polis di Bukit Beruntung, Selangor, 8 Julai lalu.
Rentetan itu, seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga suspek kedua ditahan di kawasan Setapak, pada pukul 6.30 petang, 10 Julai lalu.
30 Jun lalu , polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berkenaan ugutan dibuat di aplikasi TikTok terhadap Esha.
Pengadu telah terlihat dua hantaran di aplikasi tersebut dibawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Esha, pada 30 Julai lalu.
Kedua-dua akaun TikTok tersebut telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.
Kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib). -KOSMO! ONLINE.