KOTA KINABALU – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah menangkap seekor ular sawa yang membelit kucing dalam kejadian di Taman Ujana Kingfisher di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi itu, pemilik rumah memaklumkan reptilia sepanjang tiga meter tersebut berada di dalam parit di belakang kediamannya.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 7.51 pagi sebelum seorang pegawai bersama enam anggota dari Skuad Bravo diketuai Staf Muda (SM) Mohd Harun dikerahkan ke lokasi.
“Anggota menemui ular sawa di dalam parit yang sedang membelit seekor kucing sehingga haiwan itu mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Aizex memberitahu, anggota APM berjaya menangkap ular terbabit dengan menggunakan peralatan khas sebelum dibawa ke Pejabat APM Kota Kinabalu untuk dilepaskan ke lokasi selamat.-KOSMO! ONLINE