fbpx

Alifah tinggalkan kerjaya perakaunan jadi tukang kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIFAH mempelajari ilmu pertukangan berasaskan kayu menerusi YouTube.

DALAM hidup, kadangkala apa yang dimiliki tidak semua akan bertahan selama-lamanya.

Begitu juga dengan apa yang dilalui oleh wanita kelahiran Marang, Terengganu itu tatkala nekad meninggalkan kerjayanya dalam bidang perakaunan.

Kerjaya tersebut disifatkan cukup selesa dari segi kestabilan kewangan.

Jelas Alifah Zakaria, dia tidak mengambil masa lama untuk memutuskan keputusan berhenti kerja dan bergelar tukang kayu.

Lebih mengejutkan, dia hanya mengambil masa selama enam bulan bagi mempelajari ilmu pertukangan menerusi YouTube.

Berkongsi kepada Aura, wanita berusia 34 tahun itu berkata, dia mendapat inspirasi memulakan kerjaya sebagai tukang kayu daripada abangnya.

Ujar graduan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu, abangnya telah lama berkecimpung dalam bidang pertukangan serta berkebolehan membina rumah.

Katanya, antara faktor lain yang mempengaruhinya untuk memulakan The Bangsal adalah minat mendalam terhadap seni pertukangan kayu.

“Selepas mendapat ijazah pada tahun 2012, saya memulakan kerjaya sebagai pegawai perakaunan di sebuah syarikat kenderaan.

“Namun, selepas beberapa kali bertukar kerjaya, saya perlahan-lahan mempelajari ilmu pertukangan menerusi YouTube.

“Hampir enam bulan selepas ‘menimba ilmu’ di laman sesawang, saya memulakan The Bangsal pada 2014 dengan menjadikan bangsal di tepi rumah sebagai tempat bertukang,” katanya.

Ujar anak kelapan daripada sembilan beradik itu, awalnya, dia memulakan The Bangsal dengan membuat pelamin buatan sendiri berasaskan kayu pine untuk disewakan kepada pelanggan.

ALIFAH menunjukkan sebahagian hasil kerjanya di The Bangsal, Marang, Terengganu.

Selepas mengumpul hasil sewaan pelamin, Alifah menggunakan duit tersebut sebagai modal untuk membeli mesin dan perkakas pertukangan.

Jelasnya lagi, The Bangsal menghasilkan produk berasaskan pine mengikut trend terkini dan mendapat permintaan tinggi di pasaran sebagai asas perniagaannya.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang lebih sedekad mengusahakan The Bangsal, Alifah berkata, dia masih tidak boleh melupakan halangan pada peringkat awal berkecimpung dalam bidang itu.

Katanya, cabaran tersebut termasuklah penerimaan masyarakat terhadap hasil kerja, kualiti dan kreativitinya.

“Kebanyakan mereka merasakan harga ditetapkan terlalu tinggi, sedangkan bagi menghasilkan sesuatu produk memerlukan masa hampir seminggu.

“Selain itu, The Bangsal amat menitikberatkan soal kualiti barangan sebelum diserahkan kepada pelanggan.

“Alhamdulillah, penerimaan orang ramai terhadap harga semakin baik dan permintaan pada hasil pertukangan kayu pine kian meningkat,” katanya.

Antara produk dihasilkan Alifah adalah rak dinding, meja makan, kaunter bayaran dan kertas dinding.

Semuanya dihasilkan menggunakan kayu pine yang diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal di Lembah Klang.

Selain menghasilkan perkakasan rumah menggunakan kayu pine, The Bangsal juga menawarkan perkhidmatan mengubah suai dekorasi rumah, pejabat dan kedai.

Ditebak mengenai perancangan, Alifah berkata, dia akan terus menghasilkan produk berasaskan kayu pine selagi permintaan masih ada.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan untuk berjinak-jinak dengan kayu lebih berkualiti seperti chengal, nyatoh dan merbau pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI