fbpx

Tiga kontraktor jalan maut, seorang cedera dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Waja yang terlibat dalam kemalangan itu.

SHAH ALAM – Tiga kontraktor syarikat penyelenggaraan jalan warga India maut manakala seorang lagi cedera selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 3.1 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, hari ini.

Kemalangan menimpa semua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an itu berlaku ketika mereka sedang melakukan kerja menyelenggara di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.30 pagi dengan siasatan awal mendapati sebuah Proton Waja dipandu lelaki tempatan berusia 20-an dari arah Damansara menghala ke Klang.

“Sewaktu berada di lorong kanan, pemandu itu hilang kawalan lalu melanggar ‘water barrier’ dan pembahagi tengah lebuh raya. Kereta itu kemudian melanggar mangsa yang sedang melakukan kerja penyelenggaraan hingga mengakibatkan tiga maut manakala seorang lagi warga Bangladesh cedera,” katanya kepada pemberita.

Mohd. Iqbal menambah, semua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat dan seorang lagi yang cedera turut dibawa untuk menerima rawatan.

“Pemandu Waja ditahan bagi siasatan lanjut. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI