fbpx

Singapura miliki 333,204 jutawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan kawasan beli-belah mewah Marina Sands Bay, Singapura. - AFP

SINGAPURA – Bilangan jutawan di Singapura meningkat kepada 333,204 orang tahun lalu, me­ningkat kira-kira 0.4 peratus berbanding pada 2022, demikian menurut laman berita AsiaOne kelmarin.

Menurutnya, pada tahun 2022, bilangan jutawan di negara pulau itu ialah seramai 332,000 orang.

Dalam pada itu, secara ke­seluruhan pula, jumlah jutawan di seluruh dunia menyusut kepada 58 juta orang pada tahun lalu berban­ding 59.4 juta dalam tahun sebe­lumnya.

Seseorang akan dianggap sebagai jutawan jika mempunyai nilai bersih kekayaan berjumlah AS$1 juta (RM4.67 juta) dan ke atas. Kumpulan hartawan tersebut membentuk cuma 1.5 peratus daripada populasi dunia pada tahun lalu.

Walaupun membentuk peratusan yang begitu kecil, jutawan di seluruh dunia sebaliknya memiliki hampir separuh daripada kekayaan isi rumah global.

Menurut UBS dalam Laporan Kekayaan Global edisi ke-15 dan dikeluarkan pada 10 Julai lalu, jumlah kekayaan keseluruhan jutawan di dunia adalah kira-kira AS$214 trilion (RM999.68 trilion).

Bank Switzerland itu mengkaji 56 pasaran di rantau Asia-Pasifik termasuk Singapura, Amerika, rantau Eropah, Asia Barat dan Afrika untuk laporan kekayaan pada tahun ini.

Pasaran itu secara kolektif mewakili lebih 92 peratus daripada kekayaan dunia pada 2022.

Mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) digunakan dalam kajian tersebut untuk memudahkan perbandingan ekonomi yang berbeza antara negara-nergara terbabit.

Kajian itu mendapati bahawa AS mempunyai bilangan jutawan terbesar iaitu hampir 22 juta orang dan merangkumi 38 peratus daripada golongan kaya tersebut di seluruh dunia.

Tanah Besar China berada di tempat kedua dengan hanya lebih enam juta jutawan atau 10 peratus daripada golongan itu di dunia.

Britain menduduki tempat ketiga dengan lebih tiga juta jutawan atau mewakili lima peratus golongan tersebut di muka bumi ini.

Singapura menduduki tempat ke-22 dengan jutawannya membentuk 0.6 peratus daripada golongan itu di seluruh dunia pada tahun lalu.

Ia berada di belakang India yang menduduki tangga ke-14 kerana mempunyai hampir 870,000 jutawan.

Hong Kong pula berada di tangga ke-16 dengan kira-kira 630,000 jutawan.

Jutawan Singapura mempunyai gabungan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$1.2 trilion (RM5.6 trilion) pada 2023.

Aset mereka adalah seperti wang tunai dan ekuiti, aset bukan kewangan lain, hartanah, manakala liabiliti yang ditanggung golongan berkenaan termasuk pinjaman gadai janji, hutang kereta dan kad kredit.

Populasi jutawan membentuk 6.6 peratus daripada jumlah ke­seluruhan orang dewasa di Singa­pura.

Pada 2023, jumlah kekayaan isi rumah di Singapura meningkat 5.6 peratus daripada 2022 kepada lebih AS$2 trilion (RM9.34 trilion).

Sebagai perbandingan, keka­yaan isi rumah global meningkat 4.2 peratus pada tahun lalu selepas menguncup tiga peratus pada tahun sebelumnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI