PETALING JAYA – Meskipun kes buli siber semakin berleluasa dalam media sosial, penyanyi Iman Troye mengakui obses membaca komen netizen terhadapnya kerana menyifatkan itu sebagai teguran untuk memperbaiki diri.
Ujar Iman atau nama sebenarnya Iman Alyssa Sahabuddin, 21, komen netizen lebih jujur selain percaya kawan baik tidak selantang orang luar dalam menegur kesalahan yang dilakukannya.
“Saya sangat suka baca komen. Itu masalah saya tapi terpulang macam mana orang kendalikannya. Macam saya, saya suka baca komen sebab siapa nak tegur kita depan-depan betul tak? Tak mungkin kawan-kawan akan tegur kita.
“Jadi, saya akan baca untuk saya betulkan apa yang saya silap. Lebih kepada cara netizen berfikir kepada saya. Macam sekarang saya bersyukur ada orang yang beri perhatian pada saya, masih ada orang tegur saya.
“Saya kena ambil perkara itu secara serius demi perbaiki diri. Melainkan kalau tak ada orang tegur saya, itu kita kena risau,” ujarnya menerusi video dalam TikTok.
Pun begitu, pelantun lagu Teman itu menitipkan pesanan kepada rakan seperjuangannya supaya tidak membaca komen sekiranya boleh mengganggu kesihatan mental.
“Kalau bila dah baca dan rasa gelisah dan tak senang hati, kalian tutup telefon dan pergi luangkan masa dengan orang tersayang.
“Itu paling penting sebab kesihatan mental ini nak guna lama.
“Macam saya, saya rasa okey sebab saya nak ambil komen secara serius. Komen yang saya baca tergelak contohnya ramai menyamakan wajah saya macam Datuk Vida tapi saya tidak berkecil hati,” katanya.
Gejala buli siber sangat membimbangkan dalam media sosial. Baik figura awam, pempengaruh mahupun selebriti, kata-kata nista yang dihambur netizen tidak bertanggungjawab begitu keterlaluan sehingga menjejaskan kesihatan mental.
Antara artis yang kerap berdepan buli siber adalah Janna Nick, Neelofa dan Amira Othman. – KOSMO! ONLINE.