fbpx

Sekolah runtuh timpa pelajar, 21 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI berkumpul di hadapan sebuah sekolah yang runtuh di Jos, Nigeria semalam. – AFP

JOS, Nigeria – Sebuah sekolah di tengah Nigeria runtuh semalam dan menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh, kebanyakan mereka murid yang sedang menduduki peperiksaan, kata Persatuan Palang Merah serta saksi.

Murid-murid yang terperangkap menangis meminta tolong dari bawah runtuhan selepas sekolah Saint Academy di daerah Jos Utara, Negeri Plateau  tiba-tiba runtuh, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Pekerja- pekerja  penyelamat cuba mengeluarkan mangsa dengan bantuan jentera berat, manakala imej dari tempat kejadian menunjukkan orang ramai berkumpul di sekitar bangunan konkrit yang runtuh dan timbunan serpihan.

Jurucakap Palang Merah,  Nuruddeen Hussain Magaji memberitahu AFP bahawa 21 orang terbunuh dan 69 lagi cedera. Kesemua mangsa dimasukkan ke beberapa  hospital.

Terdahulu, seorang koresponden AFP melihat 16 mayat di dua bilik mayat sebuah  hospital di Jos. 

Semua mangsa memakai pakaian sekolah.

“Saya memasuki kelas tidak lebih lima minit, apabila saya mendengar bunyi, dan perkara seterusnya ialah saya mendapati diri saya di sini (katil hospital).

“Kami ramai di dalam kelas, kami sedang menduduki  peperiksaan,”  kata seorang pelajar berumur 15 tahun yang cedera, Wulliya Ibrahim.

Wartawan AFP berkata,  dia melihat 11 mayat di bilik mayat Hospital Pengajaran Universiti Bingham dan lima korban lain  dibawa ke bilik mayat Hospital Our Lady of Apostles di Jos.

Punca kejadian tidak dapat dipastikan tetapi penduduk berkata, bencana itu  berlaku selepas  hujan lebat turun selama tiga hari.

Sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh pada 2021 apabila sebuah bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan runtuh di daerah Ikoyi, bandar Lagos. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI