fbpx

Sebuah syarikat usaha sama MRL, CCCC bakal ditubuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Projek ECRL sepanjang 665 km dijadualkan siap dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.

PETALING JAYA – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) ingin menegaskan semula bahawa, tiada perubahan pada rancangan kerjasama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pasca pembinaan seperti yang dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) untuk fasa pengurusan, operasi, dan penyelenggaraan (MOM) ECRL pada April 2019.

Pelan ini juga selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semasa Sesi Kamar Khas Parlimen baru-baru ini yang mana beliau memaklumkan bahawa MRL dan CCCC akan berkongsi kos untuk operasi ECRL serta memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal dan kepakaran.

MRL adalah pemilik projek ECRL manakala CCCC adalah kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek tersebut. 

Menurut kenyataan MRL, bagi  operasi ECRL seterusnya, sebuah syarikat usaha sama antara MRL dan CCCC akan ditubuhkan dan perjanjian Pemegang Saham antara kedua pihak itu bagi  penubuhan syarikat usaha sama untuk mengambil peranan sebagai Syarikat Operasi (OpCo) ECRL akan dimuktamadkan pada tahun ini.

“MRL dan CCCC masing-masing akan menanggung 50 peratus daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit, manakala MRL akan menerima 80 peratus daripada pendapatan dan CCCC akan menerima baki 20 peratus pendapatan sekiranya ECRL beroperasi dengan surplus.

“MRL juga ingin menyatakan bahawa ia telah dilantik sebagai Syarikat Pemilik Aset ECRL oleh Kerajaan Malaysia, selaras dengan rancangan yang telah ditetapkan pada April 2019.

 “ Ini akan memberi ruang bagi MRL untuk menandatangani Perjanjian Operasi dengan OpCo bagi membolehkan OpCo mendapat akses kepada aset ECRL untuk operasi dan penyelenggaraan,” jelasnya.

Sehubungan itu, MRL ingin menyatakan bahawa ia akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak Kerajaan sebagai Syarikat Pemilik Aset ECRL sepanjang fasa operasi ECRL. 

Oleh itu, Kerajaan Malaysia akan memiliki 100 peratus daripada semua aset ECRL melalui MRL, memandangkan syarikat ini adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan.

Projek ECRL sepanjang 665 km dijadualkan siap dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026, dan akan mula beroperasi pada Januari 2027. 

Penyiapan sepenuhnya yang melibatkan sambungan rel dari Gombak ke Port Klang dijangka siap setahun kemudian pada Disember 2027. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI