JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial di Indonesia memaparkan seorang penghantar barang (rider) ditendang oleh seorang lelaki yang dipercayai pemiutang, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @kabarbekasi.id, rider itu dikerumuni sekumpulan individu.
Seorang lelaki mengenakan baju berwarna putih yang dipercayai pemiutang, tiba-tiba menghampiri rider tersebut.
Dia kemudian memberikan tendangan kuat, tepat di wajah sama seperti filem Kung Fu Panda sebelum orang ramai cuba meleraikan pertengkaran itu.
Kejadian berlaku di Jalan Kodau, Kota Bekasi.
Pegawai polis Kota Bekasi, Muhammad Firdaus berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Kami (polis) sedang mengesahkan identiti suspek dan mangsa,” katanya.
Tambah Firdaus, aksi pemiutang itu telah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan. – AGENSI