KUALA NERUS – Program Pra Tahfiz yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) merupakan agenda nasional untuk melahirkan generasi masa depan yang terdidik dan mencintai al-Quran sejak kecil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kefahaman terhadap al-Quran bakal memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa kanak-kanak muslim berkenaan.
“Kita bimbang jika (pendedahan agama Islam) dilakukan pada peringkat umur yang agak lewat kerana pengaruh teknologi sangat terkesan kepada kanak-kanak ketika ini.
“Kita lihat seawal dua tahun, pendekatan digunakan ibu bapa apabila anak-anak mereka meragam dan menangis dengan memberi handphone (telefon bimbit). Akhirnya anak-anak akan main game (permainan online), tidak diajar dan dibentuk dengan pedagogi pengajaran al-Quran,” katanya selepas melancarkan program Pra Tahfiz Kemas peringkat Terengganu di sini hari ini.
Program Pra Tahfiz disertai 10,843 tabika Kemas seluruh negara dengan kurikulum sedia ada turut akan diperkukuh dengan silibus keagamaan khususnya akidah dan ibadah.- KOSMO! ONLINE