RANAU – Seorang pelancong warga Singapura parah selepas tergelincir di kilometer 8.3, Summit Trail, ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa wanita berusia 41 tahun berkenaan mengalami kecederaan disyaki patah tulang buku lali kiri.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada pukul 8.06 pagi.
“Sepasukan tujuh pegawai dan anggota terus dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Operasi turut dibantu pasukan SAR Taman-Taman Sabah dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR).
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati cedera patah di buku lali kiri berdasarkan keadaan perubahan bentuk kaki,” katanya.
Mengulas lanjut, Riki menyatakan pasukan MOSAR terus memberi bantuan dan rawatan awal bagi menstabilkan keadaan mangsa sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan Robinson Stretcher. – KOSMO! ONLINE