fbpx

Pakar jantung IJN iringi Azizulhasni di Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI

KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) memberikan perhatian khusus kepada persiapan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, pihaknya mengambil langkah luar biasa untuk memastikan keselamatan dan kesihatan Azizulhasni terjaga sepanjang berada di temasya sukan terbesar dunia itu.

Katanya, antara inisiatif yang dilakukan mereka ialah dengan membawa pakar jantung daripada Institut Jantung Negara (IJN).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli.

“Antara Inisiatif melalui RTG, kita telah membuat saringan jantung kepada semua atlet yang bakal ke Sukan Olimpik. Ia adalah satu langkah yang telah kami laksanakan sejak beberapa bulan lalu bersama IJN.

“Kami juga mengambil langkah tambahan dengan membawa pakar jantung IJN, Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon untuk menyertai kontinjen sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan ISN.

“Langkah yang kita lakukan ini amat penting untuk memantau keadaan jantung Azizulhasni sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

“Ini adalah komitmen kami untuk memastikan Azizulhasni, dan semua atlet, dijaga dengan rapi sepanjang berada di Sukan Olimpik,” kata Ahmad Faedzal ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024/2027 di sini hari ini.

Jeffery adalah antara pasukan perubatan bersama-sama dengan pakar perunding bedah kardiotorasik Australia, Dr Aubrey Almeid yang bertanggungjawab memulihkan dan mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah jantung dialami The Pocket Rocketman itu.

Azizulhasni sebelum ini disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).

Jaguh berbasikal kelahiran Terengganu itu telah menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April 2022 untuk penyakit itu, yang membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera di Hospital Epworth Richmond, Melbourne dengan Jeffery diterbangkan khas ke Melbourne untuk proses pembedahan itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI