PETALING JAYA – “Orang mungkin fikir saya sudah berhenti berlakon, tetapi sebenarnya tidak.”
Itu respons pelakon Fatiya Latiff yang kembali ligat beraksi di lokasi penggambaran sebuah drama terbitan Erma Fatima, Jangan Tinggal Abang Dik!.
Kata Fatiya, dia tidak mengambil masa yang lama memikirkan tawaran tersebut memandangkan sudah banyak kalau kali dihulurkan tawaran oleh penerbit juga pengarah prolifik itu namun tidak diendahkannya.
“Erma sebelum ini banyak kali menghubungi saya untuk berlakon, tetapi saya belum bersedia.
“Bukan dia saja bahkan banyak lagi tawaran lain yang tidak saya endahkan. Apabila baru-baru ini dia (Erma) menghubungi saya lagi dan bertanyakan sama ada ingin berlakon atau tidak, saya tidak mendiamkan diri dan terus bersetuju dan masuk ke set penggambaran,” katanya yang membawakan watak Bienda dalam drama tersebut.
Akuinya, trauma kehilangan orang tersayang menjadi antara punca tekanan perasaan sehingga memaksanya berehat daripada dunia lakonan.
Merujuk kepada situasi putus cinta dengan pelakon Aiman Hakim Redza sebagai antara punca tekanan mental dihadapinya, Fathia atau nama lengkanya Nur Fathia Abdul Latiff, 36, memberitahu situasi tersebut membuatkan dia tidak bersemangat sehingga mengalami gangguan emosi dan sukar untuk memberi tumpuan berlakon.
“Sebelum ini saya memang tidak sihat jadi doktor menasihatkan agar fokus kepada penjagaan kesihatan terlebih dahulu.
“Disebabkan itu saya ambil keputusan untuk berehat kerana sebelumnya saya terlalu fokus dengan kerja sehingga tiada masa berehat.
“Jadi doktor minta saya untuk meluangkan masa bercuti dan menggembara bagi memulihkan semangat untuk berkerja semula,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya, banyak pihak yang menganggap dia sudah berhenti daripada bidang lakonan kerana terlalu lama menyepikan diri selepas kali terakhir muncul dengan drama Menanti Februari pada 2017.
“Sekitar dua tahun lalu saya pernah mendapat tawaran berlakon. Tetapi disebabkan belum bersedia, saya terpaksa tolak tawaran tersebut dan fokus kepada penjagaan kesihatan.
“Alhamdulillah sekarang saya sudah mempunyai keyakinan dan kembali aktif semula berlakon selain mula memasuki penggambaran sebuah drama lain pada minggu depan,” katanya.
Pelakon filem Darah Panas itu juga berkongsikan pengalaman membintangi drama TikTok bertajuk Jangan Tinggal Abang Dek! bersama barisan selebriti popular antaranya Datuk Adi Putra, Nabila Huda, Adira Suhaimi, Elly Mazlein dan Alya Iman.
Sejak awal tahun, Fatiya menjadi bualan hangat netizen apabila kembali mengungkit kisah lama percintaan tidak kesampaiannya dengan Aiman yang sudah menikah pelakon Zahirah Mcwilson sejak Februari 2020. Lebih dramatik, Fatiya turut memperlekehkan wajah isteri bekas kekasihnya seperti pembantu rumah atau ‘bibik’.
Pada Mei lalu Fatiya membuat pendedahan apabila mengakui dirinya menghidap penyakit skizofrenia.
Fatiya juga berterima kasih kepada ibunya, Badriyah Hassan dan memohon maaf kerana penyakit tersebut membebankan keluarga. – KOSMO! ONLINE