fbpx

Mesin vape layan diri: Peraturan, perintah larangan dalam tempoh terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) diiringi Tuanku Lailatul Shahreen berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Karnival Perlis Hebat yang turut dihadiri Dr. Dzulkefly (tiga dari kanan) di UTC Perlis, Kangar hari ini.

KANGAR – Peraturan dan perintah berkaitan larangan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri (vending machine) di seluruh negara sedang diperhalusi dan dijangka dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya kini hanya menunggu kelulusan berhubung perkara itu daripada Jabatan Peguam Negara.

“Sebenarnya ia sudah di peringkat akhir dalam Jabatan Peguam Negara, itu yang saya boleh sebut. Sejurus Jabatan Peguam Negara luluskan, kita akan terus laksanakan dari segi pelaksanaan dan perintah.

“Namun, saya tidak boleh sebut bila tarikh (pelaksanaan), tetapi insya-Allah dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis, di sini hari ini.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Halil berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Kata Dr. Dzulkefly lagi, pihaknya bagaimanapun akan membuat pemantauan bagi memastikan penjualan vape menerusi mesin layan diri tidak berlaku lagi.

“Dalam kes baru-baru ini, mereka telah menarik balik jualan daripada mesin vape itu. Kita akan memantau seluruh negara supaya perkara ini tidak berulang,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan aduan penjualan vape menerusi mesin layan diri seperti yang tular di aplikasi X pada 10 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI