fbpx

Masalah obesiti membimbangkan, cabaran buat KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH obesiti boleh dirawat termasuk mengamalkan cara hidup yang sihat. - GAMBAR HIASAN

KANGAR – Masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini menjadi cabaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan peratusan mereka yang mengalami masalah itu menunjukkan trend meningkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, rekod menunjukkan 54.4 peratus rakyat negara ini atau satu dalam dua orang mengalami berat badan berlebihan dan obesiti.

“Ia menunjukkan trend peningkatan berbanding tinjauan bagi tahun 2011, 2015 dan 2019,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis, di sini hari ini.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Halil berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Kata Dr. Dzulkefly, peratusan rakyat yang mengalami masalah itu didapati tidak dapat diturunkan lagi meskipun pelbagai usaha dilakukan pihak KKM.

“Jika kita lihat peratusan bagi penyakit darah tinggi dan kencing manis, ia menunjukkan sedikit kemajuan kecuali bagi masalah obesiti. Jadi itu menjadi cabaran buat buat saya sebagai Menteri dan KKM,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendedahkan status kesihatan rakyat yang membimbangkan, khususnya bagi penyakit tidak berjangkit.

“Sebanyak 29.2 peratus atau satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, manakala 33.3 peratus atau satu daripada tiga dewasa di Malaysia menghidap penyakit kolesterol tinggi. Kedua-dua faktor itu adalah formula paling mujarab untuk berlaku strok.

“Selain itu, 15.6 peratus atau satu daripada enam dewasa menghidap kencing manis,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI