fbpx

Majlis perkahwinan paling mewah dunia diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anant kini menjadi suami Radhika. - Foto Sopa Images/Lightrocket/Getty Images

LONDON – Majlis keraian mewah untuk anak lelaki orang terkaya di Asia bersambung hari ini dengan menampilkan tetamu bertaraf bintang termasuk selebriti Hollywood, pemimpin perniagaan global dan dua bekas perdana menteri Britain, lapor Perbadanan Penyiaran Britain.

Anant yang merupakan anak lelaki bongsu kepada bilionair Mukesh Ambani bersama tunangnya, Radhika Merchant mendirikan rumah tangga di Mumbai pada hujung minggu ini.

Kedua-dua mereka berumur  29 tahun.

Majlis mendapatkan restu berlangsung hari ini di mana kelompok kaya dan terkenal memberikan penghormatan mereka di sebuah pusat konvensyen yang boleh memuatkan 16,000 orang milik keluarga Ambani.

Ia disusuli parti mewah di mana menurut beberapa laporan, akan menampilkan persembahan bintang pop Drake, Lana Del Rey Dan Adele.

Terdahulu semalam,  acara rasmi dan parti kedua-dua mempelai dihadiri oleh barisan selebriti serta orang kenamaan termasuk Kim Kardashian, John Cena serta bekas pemimpin Britain,  Tony Blair dan   Boris Johnson.

Selain mereka, majlis rasmi itu turut dihadiri bos FIFA, Gianni Infantino, bintang Bollywood iaitu  Shah Rukh Khan dan Pengerusi Samsung,  Jay Y Lee.

“Majlis perkahwinan yang hebat” kata Duta China ke India,  Xu Feihong dalam ucapan tahniah di platform X bersama gambar pasangan tersebut.

 Majlis keramaian hujung minggu ini akan berakhir dengan parti resepsi esok.

Acara pra perkahwinan awal tahun ini termasuk parti di kediaman nenek moyang Ambani yang dimeriahkan oleh persembahan penyanyi popular, Rihanna dan Justin Bieber. 

Antara tetamu mereka termasuk pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dan Ivanka Trump iaitu anak perempuan bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pada Jun lepas, pasangan itu bercuti selama empat hari di rantau Mediterranean dan meraikan seramai  1,200 tetamu.

Percutian mereka turut dimeriahkan oleh persembahan penyanyi terkenal, Katy Perry.

Kumpulan The Backstreet Boys, artis rap,  Pitbull dan penyanyi  tenor, Andrea Bocelli turut muncul untuk mengadakan persembahan.

Bapa Anant iaitu Mukesh Ambani, 66, merupakan pengerusi konglomerat  Reliance Industries.

Ia merupakan syarikat terbesar di India berdasarkan pasaran modal.

Mukesh ialah orang ke-11 paling kaya di dunia dengan nilai kekayaan lebih AS$123 bilion(RM574 bilion), demikian menurut Forbes.

Beliau mempunyai kediaman setinggi 27 tingkat dinamakan Antilia di Mumbai yang dibina dengan kos lebih AS$1 bilion(RM4.6 bilion) dan mempunyai 600 pembantu rumah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI