fbpx

Legenda Manchester United dihukum penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EVRA

PARIS – Legenda Manchester United, Patrice Evra dijatuhkan hukuman penjara selama setahun selepas didapati bersalah kerana gagal memberikan ‘nafkah’ kepada keluarganya selama dua tahun bermula 2021 hingga 2023.

Evra berdepan hukuman tersebut selepas gagal membuat pembayaran alimoni sebanyak £813,640 (RM4.9 juta) kepada isterinya, Sandra dan dua anaknya.

Pemain pertahanan kiri Perancis itu juga diarahkan untuk membayar denda sebanyak £3,300 (RM19,961) untuk ganti rugi moral dan menanggung kos guaman sebanyak £1,600 (RM9,678).

Bekas bintang The Red Devils itu berpisah dengan Sandra pada 2020, namun prosiding penceraian kedua-dua mereka masih belum selesai sehingga ke hari ini.

Peguam Sandra, Nathalie Dubois berharap Evra sedar dengan tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebagai seorang bapa selepas hukuman tersebut dijatuhkan.

“Patrice Evra mungkin akan sedar bahawa dia tidak lebih tinggi daripada undang-undang dan kita tidak boleh mengabaikan isteri dan anak-anak apabila mempunyai keluarga.

“Patrice dan Sandra bertemu ketika berusia 15 tahun dan wanita itu telah berkorban dengan mengikutinya ke seluruh dunia untuk memberikan sokongan terhadap kariernya sebagai pemain bola sepak,” kata Dubois.

Dalam pada itu, peguam Evra, Jerome Boursican mengakui pihaknya telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan dan mempunyai alasan kukuh untuk menggugurkan keputusan tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI