KUALA LUMPUR – “Penjelasan atau komen tidak diperlukan lagi,”
Demikian reaksi selebriti dan usahawan Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, susulan penggunaan imej berbaur lucah atau ‘soft porn’ syarikat miliknya bagi mempromosikan produk yang boleh mengeratkan lagi hubungan intim suami isteri.
Katanya, perkara tersebut sudah diselesaikan setelah Syarikat Nilofa Group membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai isu tersebut.
“Pada saya isu itu sudah berakhir dan kita boleh teruskan sahaja dengan hal lain.
“Penjelasan lanjut juga tidak diperlukan lagi dan saya juga tidak mampu memanjangkan isu berkenaan. Lagipun permohonan maaf juga sudah dibuat,” jelasnya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di majlis pembukaan butik Nunha Store di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Pelakon filem Azura itu juga menganggap kejadian itu sebagai pengajaran buat mereka dan tidak mahu mengungkitnya lagi.
“Biarlah apa yang berlaku, kami anggap sebagai pengajaran dan tidak perlu dipanjangkan,” katanya.
Sementera itu ketika ditanya sama ada promosi tersebut memberi impak terhadap pembungkusan produk, Neelofa memberitahu hal itu tidak menjejaskan proses penghasilan produk.
“Kejadian yang berlaku ini tiada kena mengena dengan pengeluaran produk,” ujarnya.
Susulan itu tindakannya itu Neelofa sebelum ini dikritik kerana dikatakan tidak bersesuai dengan imej Neelofa sebagai wanita berpurdah dan sudah bergelar hajah.
Terdahulu pada Februari 2018 nama Neelofa pernah terkait kontroversi apabila mengadakan majlis pelancaran tudung di hiburan Zouk. – KOSMO! ONLINE