PETALING JAYA – Gandingan tidak terjangka antara Datuk Seri Vida bersama aktres popular China, Fan Bingbing dalam sebuah video menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila usahawan tersebut mahir bertutur dalam bahasa Mandarin.
Menerusi perkongsian di laman Instagram duta pelancongan Melaka itu, mereka berdua bertemu untuk mempromosikan produk masing-masing iaitu produk makanan daripada Datuk Seri Vida dan produk penjagaan muka daripada Fan Bingbing.
Dalam video tersebut, Datuk Seri Vida kelihatan begitu santai berbual bersama Bingbing menggunakan bahasa Inggeris dan beberapa perkataan bahasa Mandarin seperti ‘hao chi ma? (sedap ke), ‘zhe ke ye bushui’ (ini juga kekalkan hidrasi), ‘meibai’ (memutihkan) dan ‘shenme shi’ (apa itu).
Sebagai rekod, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman merupakan seorang pemegang Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu dan Sejarah) dan pernah menjadi guru di sekolah Cina selama 12 tahun di Ipoh, Perak.
Meninjau ke ruang komen, rata-rata pengguna kagum kebolehan Datuk Seri Vida memahami dan berbual dalam bahasa Mandarin malah turut memuji beliau kelihatan cantik berdiri di sebelah aktres China itu.
“Tak sangka gandingan mereka berdua dalam satu video, Datuk Vida lepak dengan Fan BingBing macam lepak dengan jiran sebelah ya,” seloroh @zoey.
“Wow Datuk Vida ‘slay’, dia tak pernah beritahu orang yang dia fasih bercakap dalam bahasa Mandarin, saya pun tak tahu Datuk Vida boleh bertutur dengan baik. Dia kedengaran fasih,” komen @eunice.
“DSV tak kosong, memang patutlah dia jadi ‘founder’ (pengusaha) berjaya, Mandarin dia pun ‘power’ (hebat). Suka dengar DSV cakap mandarin,” ujar pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE