fbpx

Copa America 2024: Nunez berpotensi digantung perlawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUNEZ

CHARLOTTE – Penyerang Uruguay, Darwin Nunez berpotensi dijatuhkan hukuman penggantungan perlawanan yang mungkin menyebabkan dia terlepas aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Copa America menentang Kanada di Stadium Bank of America pagi esok.

Ia susulan tindakannya terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan penyokong Colombia selepas kekalahan 0-1 Uruguay pada aksi separuh akhir kelmarin.

Difahamkan, Nunez dan beberapa pemain Uruguay bertindak demikian disebabkan bimbang terhadap keselamatan keluarga mereka selepas didakwa ‘diserang’ oleh sekumpulan penyokong Colombia.

Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dikatakan sedang menyiasat insiden berkenaan yang mungkin menyaksikan penyerang Liverpool itu digantung aksi menentang Kanada jika didapati bersalah.

“Jawatankuasa Tatatertib CONMEBOL telah membuka siasatan untuk memahami punca sebenar kejadian dan mereka yang terlibat dalam dalam aksi keganasan di penghujung perlawanan antara Uruguay dan Colombia.

“Menjelang perlawanan akhir Copa America, kami memberi amaran tidak akan bertoleransi dengan tindakan yang boleh mencalarkan imej, baik pemain atau penyokong di stadium kerana kejohanan ini ditonton ratusan juta penonton di seluruh dunia.

“Kami tidak dapat menerima kemeriahan kejohanan ini bertukar menjadi ganas. Kami juga tidak boleh menerima tingkah laku yang boleh memudaratkan pertandingan dan nama baik sukan ini,” menurut kenyataan CONMEBOL.

Seandainya Nunez didapati bersalah dan digantung perlawanan, ia pastinya tamparan besar buat Uruguay memandangkan pemain berusia 25 tahun itu sudah meledak dua gol buat La Celeste dalam kejohanan itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI