TOKYO – Seorang lelaki di Jepun menjana pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan ‘teman lelaki tidak begitu tampan untuk disewa’, lapor saluran berita South China Morning Post kelmarin.
Lelaki itu yang juga seorang bekas pelawak bernama Rui Shinohara, 34, memulakan perkhidmatan itu sejak 2020 dengan memuat naik iklan di platform X.
Tawaran dibuka kepada wanita yang mahukan lelaki berpenampilan sederhana untuk dibawa ke perjumpaan berkumpulan atau mereka yang ingin mempersiapkan diri untuk temu janji dengan lelaki yang tampan.
Dia juga menawarkan dirinya untuk jenama fesyen yang memerlukan model berwajah sederhana.
Perkongsiannya menerima 36,000 tanda suka dan 30 permintaan perkhidmatan selepas memuat naik ciapan itu.
Shinohara bagaimanapun terpaksa menghentikan perkhidmatannya apabila jumlah pelanggan menurun secara mendadak akibat Covid-19.
Dia kemudian berhijrah ke Filipina kerana kos sara hidup lebih berpatutan, tetapi kembali ke Jepun selepas setahun akibat tekanan kerja.
Perkhidmatan sewa itu dimulakan selepas dia kembali ke Jepun. Pelanggan dikenakan bayaran 10,000 yen (RM293.26) untuk masa dua hingga tiga jam dan mereka mesti membayar kos makanan serta pengangkutan. – AGENSI