BALING – Bekas pengasuh Allahyarham Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, hanya mampu menahan sebak ketika memandikan jenazah kanak-kanak itu di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) dekat sini kelmarin.
Menurut Siti Fadilah Hashim, 46, dia berasa sayu dan kerap kali terkenangkan detik-detik indah ketika menjaga arwah dari usia enam bulan hingga kanak-kanak itu berusia setahun.
“Saya menggosok badan arwah dan walaupun muka sedikit bengkak, wajahnya nampak jernih seperti tersenyum.
“Arwah sangat manja dengan saya dan suami. Malah, Akil panggil saya dengan panggilan mama,” katanya ketika ditemui di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini, malam kelmarin.
Katanya, dia menjaga Muhammad Akil kerana ibu arwah bekerja di sebuah kilang dan akan turut membawanya bersama jika bercuti.
“Semua itu tinggal kenangan, saya dan suami sangat sedih kerana dulu kami rapat. Kami terkejut apabila dimaklumkan Akil kritikal akibat termakan racun sebelum meninggal dunia semalam (kelmarin),” ujarnya.
Tambahnya, kali terakhir dia menemui arwah adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu ketika ibunya membawa arwah datang ke rumah,” katanya.