fbpx

[VIDEO] Pergilah dekat abang, main sama-sama di sana – Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurain (tudung ungu) ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, petang ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – ”Saya pesan pada adik, pergilah bermain dengan abang di sana (syurga).”

Itu antara kata-kata akhir Nurain Hasnorizal, 25, kepada anak bongsunya, Muhammad Luth Syauqi, dua tahun, sebelum anak kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.24 tengah hari tadi.

Nurain berkata, sejak malam tadi hanya air mata sahaja yang mengalir keluar di pipi anak bongsunya, namun doktor telah memaklumkan bahawa anaknya tidak memberi sebarang tindak balas kepada rawatan.

“Air mata dia (Muhammad Luth) sahaja mengalir keluar, saya pesan dekat dia, ibu reda ikutlah abang.

”Pergi main dengan abang dekat sana (syurga), dekat dunia pun adik dengan abang, di sana pun adik dengan abang juga, itu yang saya pesan dekat dia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, tiga tahun dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi termakan makan makanan ringan berupa keropok yang mengandungi racun tikus di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Anak sulung Nurain, Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi Rabu lalu selepas 78 jam bertarung nyawa di PICU, HPP.

Menurutnya, doktor yang merawat anaknya itu juga telah meminta ahli keluarga untuk bersiap sedia berdepan segala kemungkinan memandangkan otak anaknya tidak lagi berfungsi.

“Memang adik tidak ada tindak balas apa pun, doktor pun beritahu saya yang otak dia tidak ada fungsi.

“Doktor pun sudah pesan untuk bersedia untuk semua ini iaitu sebelum mesin bantuan pernafasan dicabut, kerana tidak dapat keputusan baik daripada adik, tidak ada tindak balas apa,” katanya.

Dalam pada itu, Nurain berkata, sebagai ibu dia amat bersedih dengan kejadian yang menimpa kedua-dua anaknya itu namun dia perlu kuat dalam menghadapi ujian tersebut.

”Saya sedih sangat, kalau ikutkan tidak mampu, tapi tidak mengapa kerana semua keluarga ada bersama dengan saya, mereka sokong saya dan saya kena kuat,” katanya.

Nurain berkata, jenazah anak bongsunya itu akan dikebumikan disebelah kubur abangnya di kampung halamannya di Kampung Banggol Berangan, Baling, malam ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI